Rabu, 16 November 2011

Sarawak



Jika anda berkunjung ke Kuching, Sarawak, antara tarikan menarik di sekitar bandaraya tersebut adalah Sarawak River Cruise, di mana anda boleh menaiki bot yang menyusuri sepanjang Sungai Sarawak sambil menikmati pemandangan menarik di sekitarnya. Ada beberapa syarikat yang boleh dipilih oleh anda, dan bergantung kepada syarikat, saiz bot dan harga yang ditawarkan adalah berbeza.
Sebagai contoh, syarikat Harbour Cruise menawarkan pakej perjalanan menyusuri sungai selama satu jam, pada harga antara RM40 hingga RM45 seorang. Harga ini termasuk dengan makanan ringan yang akan disediakan sepanjang perjalanan, serta persembahan tarian yang akan dipertunjukkan oleh sekumpulan penari tempatan.
Jeti bot yang mengambil penumpang berpusat di Kuching Waterfront, iaitu sebuah kawasan yang menjadi tumpuan ramai pelancong tempatan dan luar negara. Kedudukannya yang strategik juga membolehkan mereka yang menginap di hotel hotel utama seperti Holiday Inn, Crown Plaza Riverside  (CPR), Hilton dan Harbour View berkunjung ke Waterfront pada bila bila masa sahaja kerana jaraknya yang begitu dekat.
Melalui jeti di sini juga, mereka yang ingin menyeberangi sungai untuk pergi ke tempat tempat tertentu seperti restoran atau kedai kek lapis Sarawak Dayang Salhah boleh menaiki perahu tambang pada harga yang cukup murah, iaitu antara 30 sen dan 50 sen sahaja.
Harbour Cruise menawarkan beberapa trip perjalanan dalam masa sehari, namun yang seringkali mendapat sambutan adalah trip yang diadakan pada sebelah petang (5.45 petang, dan tiket boleh dibayar sewaktu menaiki bot) di mana penumpang bot akan dapat menikmati pemandangan di pinggir sungai serta dalam masa yang sama boleh juga merasai pengalaman melihat matahari tenggelam jauh di horizon.

Antara pemandangan yang boleh dilihat sewaktu bot dikemudi adalah Brooke’s Dockyard, bekas masjid negeri, Astana (tempat gabenor Sarawak bertugas), Fort (Kubu) Margherita, Waterfront, gunung Santubong, Kampung Boyan dan lain lain termasuk kediaman salah seorang ahli keluarga terdekat Ketua Menteri, YAB Pehin Sri Haji Taib Mahmud yang tersergam indah seperti istana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan