Jumaat, 11 November 2011

Teluk Intan, Perak




Menara Condong Teluk Intan merupakan salah satu tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri Perak. Reka bentuk binaanya agak unik dengan memaparkan keindahan seni pertukangan tradisional Cina iaitu pagoda sebagaimana binaan-binaan yang lazim terdapat di negara China. Melalui kajian yang dibuat terhadap Menara Jam Condong yang dahulu dikenali sebagai Jam Tinggi, tujuanutama pembinaannya adalah sebagai keperluan memadam api sekiranya berlaku kebakaran dan sebagai tangki air untuk penduduk bandar sekiranya berlaku kemarau.

Menara Condong ini terletak di suatu sudut Jalan Selat bersebelahan Jalan Pasar di pusat bandar Teluk Intan. Menara setinggi 85 kaki (25.5 meter) dari paras bumi jika  diimbas pandang luaran menara ini kelihatan memiliki lapan tingkat berpandukan atap berbentuk payung yang dibina melingkari puncak menara. Tetapi hakikatnya ia hanya mempunyai tiga tingkat sahaja. Manakala sebanyak 110 anak tangga diatur melengkung bagi menghubungkan tingkat demi tingkat.
Jika anda ke Teluk Intan jangan lupa melawat menara condong ini, dan yang paling penting jangan lupa rakamkan gambar anda sekali. Tempat ini dibuka untuk lawatan setiap Isnin-Jumaat pada jam 8pagi – 5 petang. Pada hari Sabtu dan Ahad ia dibuka dari jam 9.00 pagi- 6.00 petang.

 

 

Sabah

Percutian di Sabah sememangnya menjanjikan satu kenangan yang tidak boleh dilupakan terutama pada mereka yang pertama kali mengunjunginya. Memang tidak puas sebenarnya jika percutian itu cuma selama seminggu. Aktiviti di sini memang pelbagai jenis dan acara; termasuk meredah bukit (trekking), menaiki rakit, menyelam, mendaki gunung dan terdapat pusat peranginan pinggir pantai yang hebat untuk anda berehat selepas itu.
Terdapat pusat membeli belah di’tamu’ atau pasar tempatan di Kota Belud, Lebuh Gaya di Kota Kinabalu atau berhampiran Gunung Kinabalu. Kota Kinabalu ialah bandar raya kosmopolitan dengan beberapa pulau di luar pesisir pantainya.

Taman Negara Kinabalu ialah Tapak Warisan Dunia pertama di Malaysia dan Gunung Kinabalu dengan ketinggian 4,095m menjadi daya tarikannya. Yang menggemari cabaran boleh mencuba laluan dua-hari untuk tiba ke puncak, bagi yang tidak mampu mendaki, bolehlah bersiar-siar di sekitar ibu pejabat taman tersebut.
Orang Utan menjadi lambang negeri ini. Tempat Perlindungan Orang Utan Sepilok di Sandakan ialah tempat terbaik untuk menyaksikan mereka. Jauh ke pendalaman, Hilir Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong dan Lembah Danum juga boleh diterokai untuk melihat flora dan fauna yang eksotik. Tapak menyelam seperti Mabul, Lankayan, Layang Layang dan Mantanani menawarkan pemandangan kehidupan laut yang mengagumkan dan penginapan yang selesa. Hanya lawatan pada siang hari dibenarkan di Sipadan, salah satu tempat menyelam yang terhebat di dunia.
Kereta api antik Borneo beroperasi pergi balik dari Kota Kinabalu ke Tenom sementara kereta api stim pelancong beroperasi ke Papar, memaparkan pemandangan desa dan gaya hidup yang sungguh indah.
Perkhidmatan penerbangan domestik dan antarabangsa disediakan di Kota Kinabalu dan dari sini terdapat penerbangan ke destinasi lain di Sabah. Menaiki pesawat adalah cara ekonomi untuk menerokai negeri Sabah namun terdapat juga sistem perkhidmatan bas yang baik. Feri-feri berulang-alik ke Pulau Labuan yang merupakan pulau bebas cukai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan